SURI RUMAHTANGGA SEPENUH MASA



Salam sejahtera kepada semua blogger dan selamat menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi kesayangan kita iaitu Nabi Muhammad S.W. kepada semua umat Islam seluruh dunia. Untuk pertama kalinya saya berani-berani mahu mencuba dalam penulisan blog ini. Menjadi seorang suri rumah sepenuh masa bukanlah suatu kebiasaan pada saya, kerana sebelum ini saya seorang yang bekerja makan gaji. Susah untuk saya membuat keputusan berhenti dari kerja dan duduk sahaja di rumah untuk menjaga anak-anak. Tetapi ini semua sudah ketentuan, dan banyak hikmah yang saya dapat daripadanya.


Kalau dulu saya ingatkan kehidupan sebagai seorang suri rumahtangga ini sudah tentunya membosankan. Tapi saya silap dalam menilai erti kehidupan. Siapa sangka saya sudah bertahan menjadi suri rumah lebih kurang setahun lamanya. Semuanya bermula apabila saya mengandung anak yang kedua, ditambah pula dengan masalah di tempat kerja yang mendorong saya untuk berhenti kerja. Saya rasakan ianya lebih kepada "pembawakan budak"!! hahah..mungkin ada benarnya...kalau hanya masalah kerja sahaja ia tidak mungkin membuatkan saya sanggup untuk berhenti kerja.


Sejak saya berhenti kerja, banyak faedah yang saya dapatkan daripadanya. Kalau dulu, anak sulong saya Danial, tidak begitu dekat dengan saya..sekarang semuanya sudah berubah. Danial tidak boleh kehilangan saya walau saya cuma ke tandas. Dia risau jika ibunya hilang dari pandangan matanya. Ini bukan bermakna ia menyukarkan saya untuk melakukan rutin harian seorang suri rumah, malah Danial lebih mudah untuk diurus. Kalau dulu Danial sangat takut untuk bergaul dengan orang, malah dengan keluarga rapat pun sukar untuk mendekatinya. Tetapi itu semua sudah berbeza..sekarang dia gemar bermain bersama-sama dengan sepupu-sepupunya. Danial mudah didekati oleh keluarga rapat, malah jiran-jiran yang lain juga merasai perbezaannya. Sebenarnya duduk di rumah menjaga anak bukanlah teruk sangat. Saya tahu ramai ibu-ibu di luar sana yang ingin berhenti kerja dan duduk di rumah menjaga anak-anak. Cuma keadaan yang tidak mengizinkan. Ini semua pengalaman dari rakan-rakan saya sendiri. Mereka datang ke rumah dan melihat saya dan mereka juga merasakan keseronokkan duduk di rumah kerana menyedari keadaan saya yang rilex dan santai walaupun perasaan bosan cuma datang sesekali sahaja.


Anak kedua saya Adam, dia lebih beruntung dari abangnya kerana keberadaan saya yang sentiasa menjaganya sejak dia dilahirkan. Memang berbeza, Adam lebih manja dengan saya. Pantang kelibat ibunya hilang dia akan merengek-rengek minta di angkat. Sebagai ibu perasaan itu sudah tentunya sesuatu yang istimewa yang ingin sentiasa dirasakan oleh mana-mana ibu di dunia ini. Kelebihan dari segi kemudahan yang suami saya sediakan juga sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Dia memang seorang suami yang bertanggung jawab dan selalu menginginkan saya berhenti kerja dan duduk di rumah menjaga anak-anaknya. Saya mendapat banyak faedah dari semua yang berlaku sekarang ini. Mungkin dia ingin membuat saya sedar bahawa tiada ruginya jika saya berhenti kerja duduk di rumah menjaga anak-anak. Buat masa sekarang ini saya sangat-sangat bersyukur dengan keadaan ini, bersyukur kerana Allah S.W.T. membuka jalan dan peluang ini kepada saya. Dan saya juga mendoakan agar rakan-rakan saya juga suatu hari nanti akan mendapat kenikmatan yang saya kecapi sekarang ini. Kerana perkara ini bukanlah sesuatu perkara yang harus disesali. Sesuatu perkara yang baik dilakukan, akan tetap mendapat pulangan yang baik di dunia dan di akhirat hendaknya.


Akhir sekali, saya berharap sekali pada tulisan saya yang pertama ini akan mendatangkan banyak faedah kepada ibu-ibu di luar sana mana yang masih bekerja untuk mereka mengetahui bahawa menjadi seorang suri rumahtangga bukanlah sesuatu yang merugikan. Anak-anak membesar di depan mata kita sendiri. Tulisan ini hanyalah luahan hati seorang ibu dan suri rumahtangga yang baru pertama kali manulis untuk tatapan umum. Hmmm...di lain kali saya berharap dapat membawakan sesuatu penulisan yang lebih kreatif dan agresif kerana saya sedar di dunia sekarang ini bukanlah hanya ada perkara yang baik-baik sahaja. Sebagai insan yang lemah di dunia ini, pasti kita juga melakukan kesilapan dan tak salah sekiranya ia dapat dikongsikan untuk membetulkan dan memperelokkan lagi keadaan. Semoga kita berjumpa di lain isu. Sekian, terima kasih :)





Photobucket

kalau suka LIKE k... :D

2 cuties - nak komen? KELIK SINI pon boleh!!:

Rina AVAIL a.k.a Cik Betty berkata... Reply To This Comment

sy pon dulu berhenti kerja sbb nk jaga anak sendiri..mmg x menyesal pon..sbb rs bahagia sgt dpt besarkan anak sndiri..

Shiela Latif berkata... Reply To This Comment

@Rina AVAIL a.k.a Cik Betty kan?? hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...